There was an error in this gadget

Friday, 18 March 2011

Al-Zahrawi - Pakar pelbagai bidang perubatan

Al-Zahrawi - Pakar pelbagai bidang perubatan

AL-QASIM AL-ZAHRAWI

ABU AL-Qasim Al-Zahrawi yang hidup antara tahun 936 hingga 1013 Masehi adalah seorang lagi saintis Islam terhebat yang banyak meletakkan asas dalam bidang perubatan.
Sungguh menakjubkan, kepakaran Al-Zahrawi bukan sekadar terhad dalam satu bidang sahaja iaitu surgeri yang menjadi keistimewaannya, tetapi juga dalam beberapa bidang lain.
Antaranya ialah pergigian, penciptaan alat-alat pembedahan tertentu, pakar telinga, tekak dan kerongkong (ENT) dan juga mencipta ubatan-ubatan .
Sebagai seorang pakar bedah yang terkenal ketika zamannya, beliau telah dilantik menjadi doktor peribadi kepada raja Sepanyol ketika itu iaitu King Al-Hakam II.
Beliau yang dilahirkan pada tahun 936 dikenali kerana penemuan hebatnya dalam bidang perubatan terutamanya dalam bidang surgeri.
Seperkara lagi yang menyebabkan beliau terkenal ialah kerana ensiklopedia perubatan beliau yang di kenali Al-Tasrif.
Ensiklopedia ini mengandungi 30 volum pelbagai aspek sains perubatan.
Bagaimanapun daripada ensiklopedia ini, aspek yang paling penting sekali yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buah buku mengenai surgeri.
Buku mengenai surgeri ini menerangkan secara terperinci mengenai pelbagai aspek rawatan melibatkan rawatan pembedahan berdasarkan pembedahan-pembedahan sebenar yang pernah dilakukannya sendiri.
Antaranya termasuklah pengkauteran/lecuhan (cauterization), mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang, perbidanan, pembedahan ke atas binatang dan juga pembedahan mata, telinga dan kerongkong.
Secara tepat, beliau juga telah berjaya melakukan pembedahan-pembedahan rumit termasuklah mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan dan juga amputasi (mengudungkan).
Ensiklopedia Al-Tasrif ini diterjemahkan pertama kalinya ke bahasa Latin oleh Gherard dan kemudiannya diikuti oleh beberapa orang editor lain di Eropah.
Buku ini mempunyai beberapa diagram dan ilustrasi alat-alat pembedahan yang digunakan pada zaman itu dan juga yang dibangunkan oleh beliau sendiri.
Lebih membanggakan lagi, ilmu yang dicurahkan oleh beliau telah menjadi sebahagian daripada kurikulum perubatan di negara-negara Eropah sejak berkurun-kurun lamanya.
Penemuan dan juga hasil kerja Al-Zahrawi melalui ensiklopedianya Al-Tasrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam ketandusan pakar dalam bidang surgeri salah sama sekali.
Malah Al-Zahrawi juga sebenarnya adalah orang yang bertanggungjawab merekacipta alat-alat pembedahan.
Tiga alat yang terkenal ciptaannya ialah:

  • alat pemeriksaan luar telinga
  • alat pemeriksaan luar theurethra
  • alat yang digunakan untuk mengeluarkan bendasing daripada kerongkong.

Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar mengubati penyakit menggunakan kaedah lecuhan. Teknik ini digunakan di lebih 50 pembedahan yang dilakukannya.
Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya Al-Tasrif, Al-Zahrawi juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang-bidang ENT, Oftalmologi dan sebahagiannya.
Beliau juga menerangkan secara terperinci aplikasi beberapa teknik seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation).
Selain itu, Al-Zahrawi juga sebenarnya pakar dalam bidang pergigian dan dalam bukunya terkandung lakaran pelbagai alat yang digunakan dalam bidang pergigian.
Beliau juga menerangkan pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian.
Malah beliau juga membangunkan teknik untuk menyediakan gigi palsu.
Dalam bidang perubatan beliau adalah orang pertama yang menerangkan secara terperinci mengenai penyakit pelik - hemofilia.
Melihat sumbangan-sumbangan Al-Zahrawi, tidak dapat disangkal lagi, pengaruh beliau dalam bidang perubatan dan juga pembedahan telah meletakkan asas utama dalam bidang sains perubatan terutamanya bidang surgeri serta mempengaruhi bidang perubatan secara keseluruhan.
Malah menurut penulis Sejarah Perubatan Arab - Dr. Cambell, asas-asas yang diletakkan oleh Al-Zahrawi dalam bidang perubatan ini sebenarnya melebih apa yang disumbangkan oleh saintis perubatan terkenal Galen dalam kurikulum perubatan Eropah.

No comments:

Post a Comment